Saturday, October 30, 2010

DEMAM BOLA

Nampaknya tingkat demam Piala Malaysia ini menaik.  Mungkin gara-gara Kelantan masuk ke peringkat akhir ini disamping kawasan Galas sedang rancak untuk pilihanraya kecil.

Hari ini rata-rata asyik jumpa orang Kelantan saja.  Tapi iya la jugak.  Yang berjualan kebanyakannya adalah orang Kelantan dan yang pergi makan ramai orang Kelantan juga.  Orang-orang luar Kelantan macam saya menyibuk pula gayanya!

Kebetulan jiran saya pun orang Kelantan.  Ramai juga saudara mereka dari Kelantan yang datang untuk melihat perlawanan Piala Malaysia, datang menumpang tidur agaknya,

Apabila saya di laman pagi tadi, riuh bunyi suara orang Kelantan!  Nampaknya mereka begitu ghairah untuk mencipta sejarah memenangi Piala Malaysia buat julung-julung kalinya.

Sunday, October 24, 2010

SELERA ASAM KANDIS

Sudah lama benar saya tak melihat asam kandis.  Masa kecil-kecil dulu semasa merayap-rayap ke dalam hutan berdekatan rumah, selalu juga saya dan kawan bawa balik buah asam kandis sebagai buah tangan dan perisai supaya tidak dimarahi oleh ibu.


Biasanya asam kandis dibuat asam keping untuk masakan.  Saya puas mengoogle mencari gambar asam kandis.  Akhirnya dapat la rupa bentuk asam kandis seperti mana saya ingat rupanya seperti gambar di atas ini.

Sebenarnya nak cerita hari ini saya teruja sangat kerana dapat makan kerabu asam kandis dengan perut tuala di rumah kawan tengahari tadi.  Katanya dia dapat buah yang dibawa oleh orang saudaranya yang datang dari Penang semalam.

Oleh kerana kami sudah lama juga tak berkumpul, beliau menjemput kami sekeluarga makan tengahari.  Beliau turut mengundang dua rakan sekolah lain juga.  Semuanya datang bersama keluarga.  Ramai dan riuh juga dibuatnya.

Menu kawan ini kebanyakannya ialah masakan kampung.  Selain kerabu asam kandis perut dia sediakan juga kari ayam dengan jantung pisang, sambal udang petai, sayur lemak turi, ikan kembung goreng bercili belah belakang, ikan kering goreng, air asam, sambal belacan, dan ulam-ulam.  Beliau juga goreng ayam dan sediakan telur dadar.

Fuhhh, generasi-generasi ibu dan ayah semuanya memang makan berselera sungguh.  Selera asam kandis yang membuat kami makan sampai bertambah-tambah.  Sudah lama tak makan hingga letih kekenyangan begitu. :)

Namun generasi anak-anak tetap dengan citarasa sekarang la - selera bandar.  Kebanayakan mereka cuma makan ayam goreng dengan sambal udang petai dan telur dadar saja.

Thursday, October 14, 2010

MULUT MASIH BERBISA

Apabila Istana Kelantan melucutkan gelaran ‘Datuk’ beliau masih lantang bersuara.  Katanya dirinya masih bergelaran 'datuk' kerana masih ada anugerah dengan gelaran itu dari negri Selangor dan Melaka.

Itulah Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.  Dia memang suka publisiti; suka membuat ucapan dan pelbagai pengumuman.  Ada-ada saja isu yang akan dihebohkannya.  Mulutnya pun kira agak berbisa

Memang dari zaman jadi penuntut di ITM di era 70an lagi dia bising sana sini.  Sekarang sudah lebih tiga dekad kemudiannya,dia masih suka buat 'kejutan' yang tidak berapa nak mengejutkan bagi orang sudah amat kenal dengan tindak tanduknya.

Hairan juga kenapa orang yang dulu pernah dimainkannya balik menyokongnya.  Kira-kira hebat juga si Ibrahim Ali ini - Tok Guru Nik Aziz itu pun kena kencing dengannya juga.  Dunia!

Friday, October 8, 2010

STRATEGI MAKAN DIRI

Geli hati pula bila membaca tentang berita Dr Rozmey sepertinya membalas dendam dan mahu wartawan rasa kepedihan.  Tindakannya adalah kerana beliau kecewa mereka didakwa tidak menyokongnya.

Dr Rozmey jelas kecewa dengan peranan media. Pihak media telah memberi komentar negatif tentang usahanya "memecah panggung" dengan penglibatannya dalan filem.

Mungkin beliau rasa beliau bijak mengatur strategi niaganya dan telah membuktikan kejayaannya. Tapi kini dia berdepan dengan cabaran berbeza.

Orang politik hingga ke tahap pemimpin tertinggi pun sentiasa memberi masa kepada wartawan.  Di mana-mana di dunia ini keadaannya serupa.  Ramai sedia maklum bahawa wartawan mempunyai senjata tajam dengan pena/jejari dan peluru kata-kata mereka.

Saya yakin sekali Dr Rozmey telah salah catur bila beliau menggunakan strategi ini. Jelas strategi ini akan memakan dirinya sendiri.